Jawatankuasa Liga telah memuktamadkan Liga Super JBFA 2026 dengan penyertaan sepuluh pasukan.
Juara Liga Super JBFA 2026 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, manakala naib juara menerima RM7,000. Kedua-dua pasukan turut layak mewakili Johor Bahru ke saingan Piala Menteri Besar Johor 2026.
Pada musim lalu, MBIP FC muncul juara Liga Super JBFA, manakala JMF FC bergelar naib juara. Selain dua pasukan tersebut, PTP FC turut mewakili Johor Bahru ke Piala Menteri Besar Johor sebelum mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara kejohanan berkenaan.
Saingan Liga Super JBFA 2026 akan menggunakan format liga sepusingan (round robin), dengan setiap pasukan bertemu sekali bagi menentukan kedudukan liga.
Semua sembilan pasukan Liga Super musim lalu kembali mengesahkan penyertaan pada musim ini, sekali gus mencerminkan kestabilan penyertaan dalam saingan elit JBFA. Namun dua pasukan terbaik Liga Perdana musim lalu, Huma Warrior FC dan Kangkar Pulai FC, tidak dapat mengesahkan penyertaan sebelum tarikh tutup pendaftaran. RMPJB FC menjadi pasukan kesepuluh Liga Super yang merupakan pasukan dari Liga Perdana yang memenuhi syarat kenaikan ke Liga Super.
Sebagai syarat penyertaan Liga Super, setiap pasukan diwajibkan menyediakan gelanggang sendiri bagi perlawanan di tempat sendiri. Ketetapan ini bukan sahaja meningkatkan profesionalisme penganjuran liga, malah menjadi persediaan penting kepada pasukan yang layak beraksi di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
Liga JBFA akan memulakan saingannya Jumaat ini melalui perlawanan sumbangsih antara juara Liga Super tahun lepas MBIP FC yang akan menentang JMF FC juara Piala FA tahun lepas. Kedua-dua pasukan merupakan pasukan dari Liga Super JBFA.
More News
MBIP FC JUARA PIALA SUMBANGSIH JBFA 2026
25 Jul 2026