LIGA DIVISYEN JBFA 2026 - KUMPULAN RASMI DIMUKTAMADKAN, ESQUINA FC LENGKAPKAN SENARAI 10 PASUKAN

LIGA DIVISYEN JBFA 2026 - KUMPULAN RASMI DIMUKTAMADKAN, ESQUINA FC LENGKAPKAN SENARAI 10 PASUKAN

22 Jul 2026, 12:45 PM JBFA ADMIN 88 views
Selepas selesai sesi undian rasmi Liga JBFA 2026 pada Ahad lalu, sebanyak 10 pasukan yang bertanding dalam Liga Divisyen JBFA 2026 kini telah dibahagikan kepada dua kumpulan, masing-masing terdiri daripada lima pasukan. Bagi Kumpulan A, saingan akan melibatkan Bemban Junior FC, Esquina FC, Bayu Legends FC, PSJ FC dan Bintang Emas FC. Sementara itu, Kumpulan B pula dianggotai oleh Kastam FC, Ranhill SAJ FC, Rhinos FC, TDA FC dan Perling Legends FC. Saingan peringkat kumpulan akan berlangsung secara liga satu pusingan, dengan empat pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir yang menggunakan format kalah singkir. Pemenang suku akhir akan mara ke separuh akhir sebelum beraksi di pentas final bagi menentukan juara Liga Divisyen JBFA 2026. Juara Liga Divisyen JBFA 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, manakala naib juara menerima RM3,000. Kedua-dua pasukan turut akan memperoleh kenaikan automatik ke Liga Perdana JBFA 2027. Musim ini turut menyaksikan penyertaan dua pasukan baharu, iaitu Ranhill SAJ FC dan Bintang Emas FC. Ranhill SAJ FC bukanlah nama asing dalam saingan JBFA kerana pernah beraksi pada musim 2019 sebelum kembali mewarnai pertandingan pada musim ini. Sementara itu, Bintang Emas FC bakal membuat penampilan sulung selepas diterima sebagai ahli gabungan JBFA. Selain itu, sebuah pasukan turut tampil dengan identiti baharu apabila Borneo FC kini dikenali sebagai Rhinos FC. Pertukaran nama ini dibuat susulan proses pendaftaran dan kelulusan kelab oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), sekali gus menyelaraskan penggunaan nama rasmi kelab. Liga Divisyen JBFA 2026 turut menyaksikan penyertaan Esquina FC selepas rayuan kelab tersebut untuk menyertai pertandingan diluluskan oleh Jawatankuasa Pertandingan. Esquina FC diberikan slot bagi menggantikan sebuah pasukan yang digugurkan daripada saingan Liga JBFA 2026 kerana gagal memenuhi syarat-syarat penyertaan yang telah ditetapkan dalam Manual Liga JBFA 2026. Liga Divisyen JBFA 2026 dijangka menyajikan persaingan yang sengit apabila setiap pasukan akan berusaha merebut tempat ke peringkat kalah singkir, seterusnya memburu kejuaraan dan dua slot kenaikan ke Liga Perdana JBFA musim 2027.

More News