LIGA DIVISYEN JBFA 2026 TAMPIL DENGAN 10 PASUKAN
Liga Divisyen JBFA 2026 bakal menampilkan 10 pasukan yang akan bersaing dalam liga ketiga tertinggi di bawah struktur pertandingan JBFA, selepas Liga Super dan Liga Perdana.
Bermula musim 2026, pertandingan yang sebelum ini dikenali sebagai Divisyen 1 telah dijenamakan semula sebagai Liga Divisyen JBFA. Penjenamaan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkemaskan struktur pertandingan JBFA yang kini terdiri daripada tiga kategori utama, iaitu Liga Super, Liga Perdana dan Liga Divisyen.
Bagi musim ini, sebanyak 10 pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan setiap kumpulan dianggotai lima pasukan. Saingan peringkat kumpulan akan berlangsung secara liga satu pusingan sebelum empat pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke peringkat suku akhir yang menggunakan format kalah mati.
Juara Liga Divisyen JBFA 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, manakala naib juara menerima RM3,000. Kedua-dua pasukan turut akan dinaikkan ke Liga Perdana JBFA 2027.
Musim ini turut menyaksikan penyertaan dua pasukan baharu, iaitu RANHILL SAJ FC dan BINTANG EMAS FC. RANHILL SAJ FC bukanlah nama asing dalam saingan JBFA kerana pernah beraksi pada musim 2019 sebelum kembali mewarnai pertandingan pada musim ini. Sementara itu, BINTANG EMAS FC membuat penampilan sulung selepas berjaya mendaftar sebagai ahli gabungan JBFA.
Selain itu, dua pasukan akan menggunakan identiti baharu pada musim ini. BORNEO FC kini dikenali sebagai RHINOS FC, manakala PULAI INTAN FC dijenamakan semula sebagai TEMPORARY FC. Pertukaran nama ini dibuat susulan proses pendaftaran dan kelulusan kelab oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), sekali gus menyelaraskan penggunaan nama rasmi kelab.
Namun TEMPORARY FC akan beraksi dalam Liga Perdana JBFA 2026 selepas berjaya memenuhi syarat-syarat kenaikan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pertandingan.
Walau bagaimanapun, format pertandingan masih tertakluk kepada perubahan sebelum sesi undian rasmi dilaksanakan. Sebarang pindaan boleh dibuat dengan mengambil kira jumlah pasukan yang layak, penarikan diri pasukan, kegagalan memenuhi syarat penyertaan serta keperluan penganjuran pertandingan, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Manual Liga JBFA 2026.
Pengumuman ini dibuat bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada pasukan-pasukan yang terlibat sebelum pihak Jawatankuasa Pertandingan memuktamadkan format dan struktur pertandingan Liga JBFA 2026.
More News
MBIP FC JUARA PIALA SUMBANGSIH JBFA 2026
25 Jul 2026