LIGA PERDANA JBFA 2026 KEKALKAN 12 PASUKAN

LIGA PERDANA JBFA 2026 KEKALKAN 12 PASUKAN

03 Jul 2026, 10:17 AM JBFA ADMIN 199 views
Liga Perdana JBFA 2026 mengekalkan penyertaan 12 pasukan seperti musim lalu. Sebagai liga kedua tertinggi dalam struktur pertandingan JBFA, saingan ini terus menjadi pentas buat pasukan memburu slot ke Liga Super. Sebanyak 12 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan enam pasukan setiap kumpulan. Saingan peringkat kumpulan akan berlangsung secara liga, sebelum empat pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke peringkat suku akhir yang menggunakan format kalah singkir. Komposisi Liga Perdana musim ini turut menyaksikan kemasukan JBCFA dan BBU FC yang dinaikkan daripada Divisyen 1 selepas berjaya memenuhi semua syarat penyertaan dan kenaikan ke Liga Perdana. Beberapa pasukan lain turut diberi peluang untuk mengisi kekosongan, namun gagal melengkapkan syarat yang ditetapkan dalam tempoh ditentukan. Selain itu, Saujana FC kembali beraksi di Liga Perdana selepas diturunkan daripada Liga Super musim lalu. Pihak pengurusan pertandingan turut membuka ruang untuk mempertimbangkan penyertaan Huma Warrior FC ke Liga Perdana JBFA 2026. Perkara ini dibawa bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pasukan-pasukan Liga Perdana sebelum keputusan rasmi dibuat. Pengumuman ini dibuat bagi mendapatkan pandangan daripada pasukan-pasukan yang terlibat sebelum pihak jawatankuasa memuktamadkan format pertandingan Liga JBFA 2026. Juara Liga Perdana JBFA 2026 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, manakala naib juara menerima RM5,000. Kedua-dua pasukan turut memperoleh kenaikan ke Liga Super JBFA bagi musim 2027. Bagi memastikan pasukan lebih bersedia untuk beraksi di Liga Super, setiap pasukan Liga Perdana turut diwajibkan menyediakan gelanggang sendiri bagi perlawanan di tempat sendiri. Keperluan ini merupakan persediaan awal kerana pasukan yang beraksi di Liga Super perlu memenuhi syarat yang sama, selain berpeluang layak ke Piala Menteri Besar Johor. Sementara itu, dua pasukan yang menduduki tangga tercorot dalam setiap kumpulan akan diturunkan ke Divisyen JBFA bagi musim hadapan. Walau bagaimanapun, format pertandingan masih tertakluk kepada perubahan sebelum sesi undian rasmi dilaksanakan. Sebarang pindaan akan dibuat dengan mengambil kira jumlah pasukan yang layak, penarikan diri pasukan, kegagalan memenuhi syarat penyertaan serta keperluan penganjuran pertandingan, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Manual Liga JBFA 2026.

More News