Sebanyak 16 pasukan bakal berentap dalam saingan Piala FA JBFA 2026, yang akan berlangsung menggunakan format kalah singkir bermula dari pusingan pertama sehingga ke perlawanan akhir.
Piala FA JBFA merupakan kejohanan terbuka kepada semua pasukan yang bertanding dalam Liga JBFA. Walau bagaimanapun, penyertaan adalah secara sukarela dan tertakluk kepada bayaran yuran penyertaan khas. Bagi musim ini, sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka bagi merebut kejuaraan.
Daripada jumlah tersebut, 10 pasukan merupakan wakil Liga Super, 3 pasukan dari Liga Perdana, 1 pasukan dari Liga Divisyen, serta 2 pasukan baharu, iaitu BINTANG EMAS FC dan RANHILL SAJ FC. Menariknya, kedua-dua kelab baharu ini terus mengambil peluang untuk menyertai saingan Piala FA sebaik sahaja menyertai Liga JBFA pada musim ini.
Juara Piala FA JBFA 2026 bukan sahaja bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, malah turut layak mewakili JBFA ke Piala Menteri Besar Johor 2027. Sementara itu, naib juara akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.
Musim lalu, JMF FC muncul juara selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan. Sudah pasti mereka akan turun mempertahankan kejuaraan, namun bakal menerima tentangan sengit daripada barisan pencabar lain yang turut memasang impian untuk menjulang trofi Piala FA JBFA 2026.
More News
MBIP FC JUARA PIALA SUMBANGSIH JBFA 2026
25 Jul 2026